PROGRAM KHIDMAT KOMUNITI BERTERASKAN PENERAPAN KEMAHIRAN BERFIKIR
Disediakan Oleh :
Edy Hafizan Bin
Mohd Shahali
Tuan Mastura
Tuan Soh
Sharifah Intan
Sharina bte Syed Abdullah
Nur Suhaidah
binti sukor
Maria Binti
Abdullah
Nurazidawati
Mohamad Arsad
Yew Kiong Lim
Siti Hajar binti
Zakaria
Norhayati Binti Abu Bakar
Natrah
binti Mohamad
Rian
Vebrianto
Ainul
Ezatul Farah Mohd Taha
PENGENALAN
Abad ke 21 memperlihatkan bahawa hanya negara yang mempunyai “perisian
intelek” dan berteknologi canggih serta terkini sahaja berupaya berada di
barisan hadapan dalam perlumbaan mengejar kemajuan. Oleh itu, untuk menghala ke
arah model ekonomi baru yang berpaksikan pengetahuan dan inovasi ini, Malaysia
memerlukan masyarakat yang berfikiran kreatif dan inovatif serta mempunyai
keberanian untuk melakukan perubahan dan inovasi. Tanpa kreativiti dan inovasi,
negara akan terus ketinggalan dan tidak dapat bersaing dengan negara-negara
maju di dunia. Bagi merealisasikan hasrat ini maka kreativiti dan inovasi
perlulah “diarusperdanakan”, merentasi semua lapisan masyarakat dan mencakupi
segala aspek kehidupan.
Masyarakat seharusnya mampu berfikir secara
kreatif dan inovatif serta berupaya untuk melakukan perubahan dalam segenap
bidang yang mereka ceburi. Ini bertepatan dengan apa yang dinyatakan oleh
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu melancarkan Malaysia
Inovatif 2010 bahawa “kunci kejayaan kepada negara-negara maju adalah inovasi
dan kreativiti, dan untuk itu Malaysia memerlukan rakyat yang berupaya berfikir
secara inovatif dan kreatif” (Utusan Malaysia, 28 Januari 2010). Kedua-duanya
itu merentasi semua lapisan masyarakat dan merangkumi semua aspek kehidupan,
pembangunan dan kemajuan.
Menyedari hakikat peri pentingnya memupuk dan
membudayakan pemikiran kreatif dan inovatif dalam kalangan rakyatnya, negara
telah memberi penekanan kepada kreativiti dan inovasi. Antara usaha negara bagi
memupuk dan membudayakan inovasi ini dapat dilihat melalui pelancaran “Malaysia
Inovatif 2010” yang telah dilancarkan baru-baru ini. Pelaksanaan program
inovasi di peringkat nasional ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan
bersungguh-sungguh untuk membawa negara supaya setanding dengan negara-negara
maju di dunia. Namun usaha untuk mencapai hasrat tersebut tidak akan tercapai
sekiranya rakyat tidak mempunyai dan menguasai pemikiran kreatif dan inovatif
dalam masyarakat. Bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai budaya inovasi dan
kreativiti sudah tentu ia perlu dimulakan dari peringkat awal bermula dengan
sistem pendidikan dan kekeluargaan. Pelajar harus diberikan kebebasan untuk
berfikir secara kritikal dan disokong oleh persekitaran yang interaktif tetapi
terkawal berpaksikan budi pekerti, tatasusila dan nilai-nilai murni. Sistem
pengajaran dan pembelajaran seharusnya berupaya melahirkan masyarakat yang
mempunyai pemikiran inovatif.
Pengajaran dan pembelajaran sains perlulah mempu
menggalakkan pemikiran inovatif kerana bidang sains sangat berkait rapat dengan
teknologi. Sekiranya pelajar yang dihasilkan mempunyai pemikiran inovatif,
mereka akan dapat menggunakan ilmu sains dan teknologi yang dipelajari untuk
menghasilkan inovasi baru yang mampu membawa negara ke era kemajuan sepertimana
diharapkan.
Oleh itu, program ini dianjurkan bagi membantu
pelajar menguasai kemahiran abad ke 21 ini serta memupuk kemahiran berfikir secara
kritis, kreatif dan inovatif melalui aktiviti-aktiviti yang telah diaturkan. Di
samping itu aktiviti ini diharapkan dapat mengeratkan hubungan silaturahim
antara pembimbing (pelajar Sarjana Pendidikan Sains UKM) dengan pelajar di
Sekolah Kebangsaan Seberang Dungun, Terengganu.
Secara khusus program ini bertujuan
untuk memenuhi objektif berikut:
- Untuk
meningkatkan pemikiran inventif dalam kalangan pelajar kursus GR6243 dan
peserta program
- Untuk
mendedahkan penggunaan kemahiran berfikir dalam kalangan peserta program
untuk kerjaya masa hadapan
- Menggalakkan peserta program
untuk bekerjasama dan menyelesaikan masalah dalam satu pasukan.
- Untuk meningkatkan penglibatan
fizikal dan mental secara aktif dalam kalangan pelajar GR6243 dan peserta
program.
- Untuk meningkatkan kemahiran intrapersonal, interpersonal dan kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar kursus GR6243 dan peserta program
AKTIVITI
Terdapat
empat aktiviti yang telah dirancang di dalam program khidmat komuniti ini.
Setiap aktiviti-aktiviti tersebut dilaksanakan dalam bentuk stesyen. Setiap
stesyen akan menjalankan aktiviti berbeza yang akan dikendalikan oleh tiga
orang fasilitator (pelajar GR6243). Setiap stesyen akan mengendalikan dua
kumpulan murid dalam satu-satu masa. Stesyen-stesyen tersebut adalah seperti
berikut:
Stesyen 1 : Water Filter (Penapis Air)
Aktiviti
stesyen ini memerlukan peserta merekabentuk satu alat penapis air menggunakan
bahan-bahan yang disediakan iaitu botol plastic, batu-batu kecil, batu-batu
besar, pasir, arang, jarring dan kapas. Sebelum memulakan projek membina
penapis air ini, fasilitator akan menerangkan secara ringkas mengenai kitar
semulajadi air (Sukatan Sains Tahun Lima) dan menerangkan tentang kualiti air
yang semakin merosot dari hari ke hari disebabkan oleh pencemaran air hasil
daripada aktiviti-aktiviti manusia yang tidak bertanggungjawab. Beberapa alat
bantu mengajar (ABM) yang berupa kad maklumat ditampalkan disepanjang stesyen
bagi membantu guru menerangkan kitaran semulajadi air dan pencemaran air ini.
Seterusnya fasilitator akan mengemukan
masalah berkaitan isu kualiti air tersebut dan meminta murid menyelesaikan
masalah tersebut dengan menghasilkan satu penapis air. Masalah yang dikemukan
kepada peserta adakah seperti berikut:
“Sebagai seorang bakal saintis alam sekitar, hasilkan
sebuah penapis air menggunakan bahan-bahan yang disediakan bagi mendapatkan air
yang bersih. Bina penapis air anda tersebut dengan mengambilkira apakah bahan
yang perlu digunakan dan dilapisan manakah bahan tersebut perlu diletakkan.
Lakukan beberapa percubaan sehingga anda Berjaya mendapat air yang paling
bersih. Hasilkan penapis air dengan menggunakan bahan-bahan tersebut untuk
mendapatkan air yang bersih. Anda dan rakan-rakan perlu berbincang dan
merancang bahan apakah yang perlu diletakkan pada lapisan paling bawah dan
seterusnya sehingga dapat menghasilkan air yang jernih. Anda juga perlu
mengambilkira kuantiti setiap bahan yang akan digunakan tersebut. Perbaiki
penapis air yang anda bina dengan mengubah kedudukan lapisan bahan yang
digunakan sehingga Berjaya mendapatkan air yang paling jernih. Anda diberikan
peluang untuk melakukan 3 kali percubaan”
Disepanjang proses membina penapis air
tersebut, peserta dikehndaki melengkapkan helaian kerja (handout) yang
mengkehendaki mereka menyatakan apakah langkah-langkah yang dilakukan, apakah
penambahbaikan yang dilakukan dalam setiap percubaan dan apakah perubahan
terhadap kualiti air yang diperolehi. Akhirnya murid akan menjawab beberapa
soalan berkaitan aktiviti ini bagi meningkatkan kemahiran metakognitif mereka.
Stesyen 2 : Pneumatic Blast Rocket (Roket
Tekanan Udara)
Aktiviti
stesyen ini memerlukan peserta merekabentuk roket menggunakan bahan-bahan yang
disediakan iaitu kertas A4, pita selefon dan gunting. Roket yang telah dibina
tersebut seterusnya akan dilancarkan menggunakan pelancar yang dibina daripada
tiub getah, botol dan kaki retort (pelancar disediakan oleh fasilitator). Roket
tersebut akan dilepaskan dari pelancar menggunakan prinsip tekanan udara dan
jarak yang dilalui oleh setiap roket tersebut akan diukur.
Sebelum memulakan projek membina roket
ini, fasilitator akan menerangkan secara ringkas mengenai teknologi pembuatan
roket secara sepintas lalu bagi member gambaran kepada murid mengenai bentuk,
prinsip, fungsi dan jenis-jenis roket. Meskipun murid tidak mempelajari secara
spesifik mengenai roket ini dalam sukatan matapelajaran Sains murid disekolah
namun mereka mempelajari mengenai perkembangan teknologi pengangkutan (Tahun
Empat) dan mempunyai gambaran awal tentang bentuk serta kegunaan roket ini.
Seterusnya
murid akan diminta untuk menghasilkan satu roket menggunakan bahan-bahan yang
dibekalkan tersebut.
Masalah
yang dikemukan kepada peserta adakah seperti berikut:
“Anda
dan kumpulan anda diberikan bahan-bahan berikut ; Kertas A4 (10 helai), Pita
selefon (masking tape) dan Gunting.Sebagai seorang bakal saintis aeroangkasa, anda dan kumpulan anda dikehendaki membina
roket menggunakan bahan-bahan yang dibekalkan tersebut. Roket tersebut akan
diuji dengan meletakkannya pada pelancar yang diperbuat daripada botol minuman
dan tiub getah.”
Disepanjang proses membina roket tersebut, peserta
dikehendaki melengkapkan helaian kerja (handout) yang mengkehendaki mereka
menyatakan apakah langkah-langkah yang dilakukan, apakah penambahbaikan yang
dilakukan dalam setiap percubaan dan apakah perubahan terhadap jarak yang
diperolehi. Akhirnya murid akan menjawab beberapa soalan berkaitan aktiviti ini
bagi meningkatkan kemahiran metakognitif mereka.
Stesyen
3 : Formula One Car (Kereta Formula Satu)
Aktiviti
stesyen ini memerlukan peserta merekabentuk kereta formula satu dengan menggunakan bahan-bahan yang disediakan iaitu
botol plastic, kadbod (untuk membuat tayar), straw, lidi, pita selefon, klip
kertas, belon dan gunting. Kereta Formula Satu yang telah dibina tersebut
seterusnya akan dilancarkan dilandasan (ramp) yang disediakan oleh fasilitator.
Kereta Formula Satu tersebut akan dilepaskan dari landasan berketinggian 25 cm dan
jarak yang dilalui oleh setiap kereta tersebut akan diukur.
Sebelum memulakan projek membina kereta
Formula Satu ini, fasilitator akan menerangkan secara ringkas mengenai teknologi
pembuatan kereta Formula Satu secara sepintas lalu bagi member gambaran kepada
murid mengenai bentuk, prinsip, fungsi dan jenis-jenis roket. Murid juga didahkan
dengan beberapa konsep sains yang penting dalam merekabentuk kereta ini iaitu
konsep kestabilan (Sains Tahun Lima) dan konsep Daya Geseran (Sains Tahun 6).
Beberapa gambar-gambar (ditampal disepanjang stesyen) yang menunjukkan bentuk
asas dan inovasi dalam rekabentuk kereta formula satu bagi memberi gambaran
mengenai bentuk kereta ini dan apakah factor-faktor yang dipertimbangkan dalam
mereka bentuk kereta yang dapat bergerak paling jauh apabila dilepaskan dari
landasan.
Arahan
yang dikemukan kepada peserta adakah seperti berikut:
“Sebagai
seorang bakal jurutera rekabentuk F1,
Anda dan kumpulan anda dikehendaki membina model kereta F1 menggunakan
bahan-bahan di atas. Dalam merekabentuk kereta anda itu, pastikan anda
mengambilkira faktor seperti bentuk,rintangan angin,gravity dan berat kereta
tersebut supaya anda dapat menghasilkan kereta yang stabil dan boleh bergerak
paling jauh apabila dilepaskan dari landasan (ramp). Kereta tersebut akan
dilepaskan dari landasan (ramp) yang berketinggian 30 cm. Kemudian, ukur jarak
yang dilalui oleh kereta anda . Lakukan beberapa percubaan dan perubahan pada
kereta anda supaya ia boleh bergerak pada jarak yang paling jauh apabila
dilepaskan dari landasan (ramp) tersebut. Anda bebas untuk menggunakan
kreativiti anda dengan menggunakan bahan-bahan yang diberi supaya dapat
menghasilkan kereta F1 yang dapat meluncur pada jarak yang paling jauh apabila
dilepaskan dari landasan (ramp). Pastikan anda mengambilkira factor
bentuk,rintangan angin,tarikan gravity dan berat kereta ketika merekabentuk
kereta F1 ini.”
Peserta diberi masa selama 30 minit bagi
menghasilkan, menguji dan melakukan penambahbaikan terhadap kereta formula satu ciptaan mereka. Mereka
diberi kebebasan merekacipta kereta tersebut mengikut kreativiti mereka dan
melakukan penambahbaikan supaya kereta tersebut dapat bergerak paling jauh
setiap kali dilepaskan dari landasan yang disediakan oleh fasilitator.
Disepanjang proses membina kereta
tersebut, peserta dikehendaki melengkapkan helaian kerja (handout) yang
mengkehendaki mereka menyatakan apakah langkah-langkah yang dilakukan, apakah
penambahbaikan yang dilakukan dalam setiap percubaan dan apakah perubahan
terhadap jarak yang diperolehi. Akhirnya murid akan menjawab beberapa soalan
berkaitan aktiviti ini bagi meningkatkan kemahiran metakognitif mereka.
Stesyen 4 : My Strongest Tower (Menara
Terkuatku)
Aktiviti
stesyen ini memerlukan peserta merekabentuk satu model bangunan menggunakan
blok “LEGO” diatas satu kadbod. Ketinggian minima bangunan yang dibina adalah
50 cm dan peserta dikehendaki menggunakan keseluruhan 75 keping blok “LEGO”
yang dibekalkan. Peserta diberi kebebasan untuk membina bangunan mereka mengikut
bentuk yang mereka rasakan dapat menahan gegagaran yang akan dikenakan pada
tapak bangunan tersebut (tapak dibina dari dua keeping kadbod dengan meletakkan
bola getah pada diantara kadbod). Struktur bangunan yang dibina tersebut
seterusnya akan diuji kestabilannya menahan daya gegaran dengan menggerakkan
salah satu kadbod tersebut dan kemudian melepaskannya. Kadbod tersebut akan
bergerak dan menghasilkan daya gegaran pada tapak bangunan. Peserta akan
melakukan beberapa percubaan sehingga berjaya membina satu struktur bangunan
yang dapat menahan gegagran pada sudut berbeza tersebut.
Sebelum memulakan projek membina model
bangunan ini, fasilitator akan menerangkan secara ringkas mengenai konsep
kestabilan (Sains Tahun Lima) dan factor-faktor yang mempengaruhinya seperti
luas tapak dan juga kedudukan pusat gravity (ketinggian). Beberapa
gambar-gambar (ditampal disepanjang stesyen) yang menunjukkan bangunan-bangunan
di dunia dalam pelbagai bentuk diberikan bagi memberi gambaran awal kepada
peserta. Mereka juga didedahkan dengan masalah yang dihadapi oleh negara-negara
seperti Jepun yang sering ditimpa bencana gempa bumi yang memusnakhan
bangunan-bangunan dinegara tersebut.
Arahan
yang dikemukan kepada peserta adakah seperti berikut:
“Antara daya yang boleh melemahkan struktur bangunan
adalah daya gegaran (lateral shaking force) sepertimana yang dialami ketika
gempa bumi. Jika seseorang jurutera ingin merekabentuk dan membina bangunan
dinegara yang sering mengalami gempa bumi maka beliau perlu memastikan ia boleh
menampung daya gegaran tersebut. Sebagai seorang bakal arkitek, rekabentuk dan hasilkan bangunan yang
stabil dan tidak tumbang apabila menerima daya gegaran dengan menggunakan
bahan-bahan yang diberikan. Anda dikehendaki membina struktur bangunan dengan
menggunakan set LEGO yang disediakan. Ketinggian minimum struktur bangunan anda
adalah 50cm. Anda bebas merekabentuk bangunan tersebut mengikut bentuk yang
anda rasakan dapat bertahan apabila dikenakan daya pada kadbod yang menjadi
tapak kepada bangunan tersebut. Anda boleh melakukan beberapa percubaan
sehingga mendapat rekabentuk bangunan yang paling stabil.”
Aktiviti Pembentangan Kumpulan, Refleksi
& Kemahiran Metakognitif
Setelah
selesai melaksanakan kemsemua aktiviti di empat stesyen yang berbeza, murid
akan berkumpul semula di dewan dalam kumpulan masing-masing. Fasilitator akan
membawa hasil akhir yang telah dihasilkan oleh setiap kumpulan ke hadapan
dewan. Peserta akan berpeluang untuk membanding beza hasil produk mereka dengan
kumpulan lain serta mengenalpasti apakah kelemahan dan kekuatan hasil rekaan
mereka berbanding rakan-rakan dari kumpulan yang lain.
Seterusnya fasilitator akan menguji
sekali lagi hasil akhir setiap kumpulan semula. Beberapa kumpulan yang dapat
menghasilkan produk yang terbaik akan diminta menyatakan mengapakan hasil
rekaan mereka lebih baik dari kumpulan yang lain dengan menyatakan
factor-faktro yang diambil kira, inovasi yang dilakukan dan langkah-langkah
yang dilaksanakan dalam merekabentuk produk tersebut. Seterusnya fasilitator
akan mengulang langkah menguji produk bagi aktiviti stesyen-stesyen
seterusnya.Maka akhirnya di dalam aktiviti pembentangan hasil produk ini,
murid-murid akan dapat mengenalpasti bagaimanakan langkah yang mereka lakukan
berbeza berbanding rakan yang lain dan bagaimana mereka dapat menambahbaik lagi
hasil produk mereka pada masa akan datang. Ini secara tidak lansung telah
meningkatkan kemahiran metakognitif dalam kalangan murid tersebut.
KESIMPULAN DAN CADANGAN
Secara
keseluruhannya, aktiviti yang telah dirancang dalam empat stesyen berbeza telah
berupaya menggalakkan pelajar untuk berfikir secara kreatif dan inovatif. Para
peserta dilihat berupaya menjana idea-idea yang kreatif dan melakukan inovasi
terhadap produk rekaan mereka. Disamping berupaya menggalakkan murid berfikir
secara kreatif dan inovatif, aktiviti yang telah dirancang ini juga berupaya
menggalakan peserta untuk meningkatkan beberapa kemahiran generik seperti
kemahiran interpersonal, intrapersonal, kemahiran komunikasi dan bekerja dalam
pasukan (kemahiran generik). Kemahiran komunikasi antara peserta program telah
berjaya ditingkatkan ditingkatkan melalui sesi perbincangan kumpulan ketika
melakukan aktiviti dan melalui beberapa sesi pembentangan hasil aktiviti.
Semangat dan kerjasama dalam pasukan juga dapat dipupuk dalam kalangan peserta
melalui aktiviti di setiap stesyen yang dijalankan dalam kumpulan. Selain
daripada itu, program ini juga telah berupaya meningkatkan pemikiran kreatif
dan inovatif dalam kalangan pelajar GR6243. Proses merancang aktiviti berupaya
menggalakkan pelajar untuk berfikir secara kreatif dan inovatif dalam
mendapatkan idea-idea baru atau melakukan penambahbaikan terhadap idea-idea
sedia ada supaya dapat menghasilkan aktiviti-aktiviti stesyen yang berkesan.
Proses merancang dan melaksanakan program ini juga telah meningkatkan beberapa
aspek kemahiran generik dalam kalangan pelajar GR6243 seperti kemahiran
intrapersonal, interpersonal, komunikasi dan kerjasama dalam pasukan. Maka
jelaslah bahawa program komuniti ini telah berjaya mencapai matlamat utamanya
dalam memupuk dan menggalakkan peserta (murid Tahun 5) dan pelajar GR6243 untuk
berfikir secara kreatif dan inovatif serta meningkatkan kemahiran generik
mereka.
Program khidmat komuniti perlu diteruskan pada masa akan datang namun
beberapa penambahbaikan dicadangkan supaya program ini menjadi lebih baik pada
masa hadapan. Antara cadangan-cadangan tersebut adalah seperti berikut:
- i. Bilangan stesyen aktiviti perlu diperbanyakkan supaya murid dapat didedahkan dengan lebih banyak lagi aktiviti yang menggalakkan pemikiran kreatif dan inovatif.
- ii. Bilangan peserta di dalam setiap kumpulan perlu dikurangkan supaya murid dapat dilibatkan secara optima. Bilangan peserta yang terlalu ramai akan menyebabkan terdapat sebilangan kecil murid yang tidak melibatkan diri secara aktif dan kurang memberi sumbangan idea dalam sesi perbincangan kumpulan.
- iii. Peruntukan masa yang ditetapkan bagi menyelesaikan aktiviti stesyen perlu dilanjutkan agar mereka berupaya melakukan perbincangan untuk mendapatkan idea-idea yang kreatif dan supaya mereka berupaya menganalisa kekurangan atau kelemahan dalam rekaan mereka dengan lebih terperinci lagi. Peruntukan masa yang terlalu singkat akan menyebabkan peserta menyelesaikan tugasan dengan terburu-buru dan akibatnya pemupukan kemahiran berfikir ini tidak dapat berlaku dengan optima.
- iv. Murid-murid perlu didedahkan dengan konsep-konsep sains yang terlibat dalam aktiviti yang dilaksanakan supaya mereka dapat mempertingkatkan kemahiran proses sains mereka dan berupaya mengaplikasikan konsep yang telah dipelajari dengan lebih baik lagi melalui setiap aktiviti stesyen tersebut.
- v. Murid-murid berpencapaian sederhana dan rendah perlu diberi bimbingan yang lebih ketika merancang rekabentuk produk mereka serta ketika sesi menjawab soalan-soalan untuk meningkatkan kemahiran metakognitif mereka. Fasilitator perlu membimbing kumpulan peserta ini dalam menganalisa kelemahan dan kekurangan dalam rekaan peserta melalui soalan-soalan kemahiran metakognitif yang disediakan disetiap akhir sesi aktiviti stesyen tersebut.
- vi. Peserta-peserta perlu digalakkan untuk bertanyakan soalan selepas setiap kali sesi pembentangan kumpulan supaya mereka dapat membuat perbandingan hasil rekaan mereka dengan kumpulan lain. Melalui langkah ini, peserta dapat melihat dan mengenalpasti apakah kelebihan atau kekurangan rekaan mereka berbanding kumpula lain dan sekaligus meningkatkan kemahiran metakognitif mereka.
- vii. Dalam sesi pembentangan dan refleksi, fasilitator perlu memberi penekanan terhadap inovasi yang dilakukan oleh setiap kumpulan dan meminta mereka membanding beza setiap inovasi yang dilakukan oleh setiap kumpulan. Ini akan memberi gambaran kepada peserta bahawa inovasi penting dan perlu diamalkan dalam menghasilkan idea atau produk yang lebih baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan